Parlimen tidak bubar sebelum 31 Julai tahun depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mengesahkan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

-Advertisement-

Selain itu, kerajaan juga perlu berusaha melaksanakan setiap satu dan segala transformasi yang dicadangkan dalam tempoh masa dipersetujui kedua-dua pihak.

MoU itu memperincikan mengenai enam transformasi utama Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Sebagai balasan kepada pelaksanaan transformasi dalam aturan masa dipersetujui di dalam MoU ini, Pakatan Harapan (PH) bersetuju melaksanakan perkara berikut pada masa material iaitu tertakluk kepada pelaksanaan transformasi dalam MoU ini.

-Advertisement-

Ia dengan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan Belanjawan 2022, selepas proses penggubalan rang undang- undang (RUU) itu dirunding dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.

Selain itu ia juga membabitkan pendirian menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau RUU lain yang kegagalan meluluskannya adalah suatu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan, selepas proses penggubalan RUU itu dirunding dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya. -BH