Pelabur asing terus beli saham, aliran masuk RM52.7 juta minggu lalu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pelabur asing mengekalkan belian bersih mereka di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut pada minggu lalu, dengan aliran masuk berjumlah RM52.7 juta, mencerminkan kadar yang lebih perlahan, demikian MIDF Research.

-Advertisement-

Ia berkata, belian bersih dicatatkan dari Isnin hingga Rabu, dengan jumlah aliran masuk asing yang tinggi berjumlah RM106.4 juta dicatatkan pada Rabu.

Namun, katanya, warga asing beralih kepada penjual bersih menjelang akhir minggu, berpotensi didorong oleh dua perangkaan ekonomi yang lemah.

“Pada Julai, jumlah eksport menurun sebanyak 13.1 peratus kepada RM116.75 bilion, manakala jumlah import menyusut 15.9 peratus kepada RM99.66 bilion.

“Sementara itu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang pada kadar yang lebih perlahan daripada jangkaan sebanyak 2.9 peratus pada suku kedua 2023,” katanya.

Setakat ini, MIDF Research berkata, penjualan bersih ekuiti domestik oleh pelabur asing pada kadar RM2.41 bilion.

Tiga sektor mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah ialah hartanah (RM165.3 juta), teknologi (RM27.4 juta) dan perladangan (RM23.9 juta), manakala tiga sektor teratas mencatatkan aliran keluar bersih ialah produk perindustrian dan perkhidmatan (RM106.5 juta), penjagaan kesihatan (RM49.6 juta) dan REITs (RM27.1 juta).

Sementara itu, MIDF Research berkata, institusi tempatan menjadi pembeli bersih sebanyak RM76.1 juta selepas mencatatkan jualan bersih lima minggu lalu.

-Advertisement-

Setakat ini bagi 2023, belian bersih oleh institusi tempatan berjumlah RM2.76 bilion.

Melangkah ke minggu keenam berturut-turut, peruncit tempatan mencatatkan jualan bersih sebanyak RM128.8 juta bagi ekuiti domestik minggu lalu.

Setakat ini bagi 2023, jualan bersih peruncit tempatan sebanyak RM348.9 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) merentasi pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing.

Pelabur runcit mencatatkan peningkatan 24.9 peratus, institusi tempatan 28.2 peratus dan pelabur asing sebanyak 11.9 peratus.

– BH