Pemegang AP tak untung besar jual kereta elektrik

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa pemegang Permit Import (AP) memperoleh keuntungan sehingga RM100,000 bagi setiap kereta elektrik (EV) terutama Tesla adalah tidak berasas.

-Advertisement-

Naib Presiden merangkap Ketua Dewan Muda PEKEMA, Raja Petra Maruddin Raja Nordin, berkata angka RM100,000 yang dinyatakan dalam satu sumber berita sebelum ini adalah tidak berasas dan tidak sepatutnya diambil kira berdasarkan harga yang mereka bayar untuk membeli kereta EV di negara asal termasuk kepelbagaian faktor seperti pengangkutan, waranti, dan kos operasi.

Beliau berkata, margin keuntungan yang diambil pengimport daripada harga kilang ketika menjual semula kereta berkenaan adalah normal.

Bagaimanapun, Raja Petra menjelaskan bahawa harus disedari bahawa pemegang AP mempunyai risiko tertentu seperti risiko pasaran, kos infrastruktur dan tanggungjawab untuk menyediakan jaminan dan servis selepas jualan atas inisiatif mereka sendiri, yang mana pada ketika itu kebanyakan infrastruktur belum lagi tersedia di Malaysia.

“Semua ini adalah faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan keuntungan sebenar,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa sebagai pemegang AP, mereka bukanlah pengilang langsung seperti Tesla yang dapat menjual dan menentukan harga kereta secara terus tanpa melalui pengedar atau pihak ketiga.

“Untuk makluman, Tesla adalah satu-satunya pengeluar kereta yang pada masa ini menjual kereta terus kepada pelanggan. Semua pengeluar kereta jenama lain menggunakan pengedar walaupun sesetengah pengeluar kereta menyediakan konfigurasi dan pembiayaan dalam talian,” jelasnya.

Beliau menambah, faktor-faktor itu mengakibatkan tambahan kos yang harus ditanggung bagi memastikan EV yang diimport adalah selamat dan mematuhi standard tempatan.

-Advertisement-

“Dalam perkara ini, sebenarnya kita pengimport adalah perintis dan pemangkin kepada penjualan EV di Malaysia kerana tanpa sokongan kami sebagai pemegang AP, mungkin beberapa jenama EV tidak akan masuk ke pasaran Malaysia.

“Oleh itu, tuduhan yang kami mengambil keuntungan besar tanpa sebarang data atau rujukan adalah tidak adil dan cubaan untuk merosakkan reputasi serta peranan kami dalam industri ini,” tegasnya.

Raja Petra turut menekankan bahawa pemegang AP sentiasa terdedah kepada risiko semasa beroperasi, terutamanya ketika membawa masuk EV.

Katanya, beberapa faktor kekangan, seperti kekurangan cip dan bateri, turut mempengaruhi harga dan menyebabkan turun naik sesebuah EV yang tidak dapat dielakkan.

“Diharap dakwaan berkenaan dapat dilihat dengan lebih rasional dan tidak hanya berfokus pada angka semata-mata.

“Kami memainkan peranan penting dalam memperkenalkan EV kepada masyarakat Malaysia, dan seharusnya usaha kami dihargai dalam memajukan industri ini,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373