‘Gaji lepasan ijazah merosot ke arah paras gaji minimum’

Estimate Reading Time: < 1 minute

Putrajaya: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, melahirkan kebimbangannya terhadap kecenderungan gaji permulaan untuk lepasan ijazah di negara ini, yang dilihat tidak jauh beza dengan paras gaji minimum ketika ini iaitu RM1,500 sebulan.

-Advertisement-

Rafizi berkata, apabila ada gaji minimum, sepatutnya gaji permulaan untuk lepasan ijazah naik lebih tinggi untuk menjarakkan daripada gaji minimum berkenaan kerana paras itu adalah untuk pekerja tidak berkemahiran.

Namun, katanya, dapatan awal statistik gaji setakat ini menunjukkan ia sebenarnya telah mengherot ke bawah, rapat kepada gaji minimum.

“Ia menunjukkan (seolah-olah) gaji minimum itu diguna sebagai rujukan untuk membayar gaji, terutama lepasan ijazah dan pekerja berkemahiran muda.

“Keadaan ini adalah satu fenomena yang memerlukan dasar segera untuk membetulkan keadaan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau pasti perkara itu akan dibincangkan dengan lebih mendalam dan di peringkat Kementerian Ekonomi, ia akan menjadi tumpuan utama.

-Advertisement-

“Kenapa sekarang baru kami bercakap ialah kerana kami perlu mengumpul data dan mendapatkan maklumat keadaan gaji yang tepat dalam beberapa bulan lalu.

“Kini, kita boleh yakin dengan diagnosis. Kita boleh yakin bahawa memang kita ada masalah gaji. Ia bukan cakap-cakap saja. Sekarang ia boleh disahkan oleh data. Perkara ini akan ditumpukan,” katanya.

Rafizi juga berkata, komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga jelas mengenai kadar gaji rakyat dan ia menjadi sebahagian daripada teras utama Ekonomi MADANI iaitu meningkatkan siling.

Beliau berkata, soal siling bersabit dengan gaji permulaan dan gaji golongan muda.

– BH