Pengguna lebuh raya MEX belum serasi guna kad kredit, debit di tol

Estimate Reading Time: 2 minutes

SERI KEMBANGAN: Kebanyakan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) didapati masih belum menyesuaikan diri membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit, sebaliknya masih lagi selesa menggunakan Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

-Advertisement-

Tinjauan BH di Plaza Tol MEX Seri Kembangan mendapati hanya segelintir sahaja pengguna lebuh raya yang menggunakan kad debit atau kredit sebagai mod pembayaran tol.

Pembantu Jurutera, Farizan Abdul Rahman, 41, berkata, beliau hanya mengetahui mengenai Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) menggunakan kad debit atau kad kredit pagi tadi semasa mendengar berita di radio.

“Saya belum cuba lagi bayar tol guna kad kredit atau debit…saya baru dengar maklumat ini dalam radio ketika ingin menghantar anak pergi ke sekolah pagi tadi.

“Tambahan pula baki Touch ‘n Go saya masih lagi banyak mungkin pada masa akan datang saya cuba guna,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Farizan juga berkata, perlu mengetahui lebih lanjut cara pembayaran melalui kad debit kerana bimbang jika ia menggunakan sistem yang sama dengan sistem debit apabila mengisi petrol di stesen minyak.

“Ada stesen minyak yang menolak RM200 daripada kad debit walaupun kita mengisi minyak sebanyak RM30. Walaupun bakinya akan dipulangkan kemudian, bagi saya sistem begini agak lambat. Sekiranya pembayaran tol menggunakan sistem yang sama, saya akan kekal bersama Touch ‘n Go,” katanya.

Beliau turut berkata, penggunaan kad debit itu dapat memudahkan urusan pembayaran tol tanpa perlu kerap menambah nilai kad Touch ‘n Go.

“Setiap kali saya menambah nilai kad Touch ‘n Go saya terpaksa tambah dengan jumlah yang banyak sekal igus kerana tidak mahu bersesak di stesen minyak pada waktu pagi.

“Sekiranya kerisauan saya sudah terjawab, selepas ini saya akan menggunakan kad debit sahaja kerana lebuh raya MEX ini adalah laluan rutin saya,” katanya.

-Advertisement-

Sementara itu, jurugambar, Wan Mohd Azri Wan Daud, 40, beliau lebih selesa menggunakan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go yang boleh ditambah nilai menggunakan telefon pintar sahaja.

“Buat masa ini saya tidak akan menggunakan kad debit kerana tidak ada keperluan. Walau bagaimanapun inisiatif ini saya lihat banyak memudahkan pengguna lebuh raya terutamanya pada waktu pagi.

“Ini bagi mengelak jika ada pengguna yang kadang kala ada yang terlupa menambah baki Touch ‘n Go dan mengakibatkan kesesakan di plaza tol.

“Bagi saya pembayaran menggunakan kad debit ini bagus ketika berdepan dengan situasi kecemasan seperti ini,” katanya.

Semalam BH melaporkan Lebuhraya MEX menjadi yang pertama melaksanakan SPT menggunakan kad debit atau kad kredit bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu sekali gus memberikan alternatif baharu serta kemudahan kepada pengguna dalam proses pembayaran tol, berbanding kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Mengulas lanjut, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) syarikat konsesi Lebuhraya MEX antara 12 lebuh raya terawal yang akan melaksanakan sistem SPT yang mana pengujian sistem sudah bermula bulan lalu.

Katanya, ia bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373