Penggunaan katil ICU di Negeri Sembilan menurun

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN: Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 di negeri ini mencatatkan penurunan sehingga 77 peratus sehingga kini.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan, berkata situasi berkenaan berbeza dengan sebelum ini apabila mencatatkan sehingga 150 peratus.

Beliau berkata, hanya ICU di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban di sini, mencatatkan penggunaan katil pesakit masih tinggi iaitu sekitar 103 peratus.

“Situasi ini menunjukkan katil di ICU hospital awam di negeri ini mempunyai kekosongan kecuali di HTJ.

“Bagaimanapun, secara puratanya ia sudah menunjukkan pengurangan yang banyak berbanding sebelum ini mencecah sehingga 150 peratus, malah kes pesakit COVID-19 di Negeri Sembilan yang dikategorikan tiga, empat dan lima juga semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

-Advertisement-

Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, perkembangan baik itu adalah hasil pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang berjalan lancar dan berkesan.

Katanya, kadar suntikan vaksin dalam kalangan rakyat negeri itu berusia 18 tahun ke atas sudah mencecah 87 peratus bagi dos pertama, manakala 66 peratus pula melengkapkan kedua-dua dos.

“Justeru, kerajaan negeri yakin sasaran 80 peratus imuniti berkelompok atau kira-kira 820,000 orang penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19 akan dapat dicapai menjelang Oktober depan,” katanya.

-BH