Peniaga bazar Ramadan diingat jangan sesuka hati naikkan harga

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga, termasuk di bazar Ramadan yang didapati mengambil kesempatan menaikkan harga makanan, sepanjang Ramadan ini.

-Advertisement-

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata melalui beberapa operasi yang dijalankan KPDN sebelum ini, melalui Ops Terjah, Ops Tiris dan Ops Menu, terdapat segelintir peniaga melakukan kesalahan itu, dan pemantauan akan dipergiat dari semasa ke semasa.

“Kita tidak pernah berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan.

“Kita beri nasihat jika ada kesalahan seperti tidak meletakkan tanda harga, tapi jika ada pencatutan, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah oleh Lulu Hypermarket di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Serantau Lulu Malaysia, Asif Moidu Ahamed.

Selain itu, Salahuddin memaklumkan, berdasarkan tinjauan oleh pasukan KPDN di Cameron Highlands, semalam, bekalan sayur didapati mencukupi sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri kelak.

-Advertisement-

“Pasukan memberikan satu analisa, yang setakat ini, bekalan masih tidak terganggu, walaupun saya cukup bimbang selepas berlakunya banjir besar di Johor baru-baru ini dan kebun sayur musnah, tapi kapasiti pengeluaran di Cameron Highland mencukupi.

“Barangan kritikal seperti tomato dan kacang panjang, semuanya nanti akan kita masukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang akan diumumkan beberapa minggu lagi,” katanya.

Mengenai inisiatif di bawah Payung Rahmah yang dilaksanakan Lulu Hypermarket, Salahuddin berkata, sebanyak 216 barangan pilihan, termasuk keperluan asas isi rumah diberikan tawaran di bawah Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah, dengan penjimatan sehingga 70 peratus.

Katanya, inisiatif berkenaan yang ditawarkan Lulu Hypermarket melalui enam cawangannya di seluruh negara sehingga 1 Mei ini, akan membantu isi rumah membuat persiapan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

“Kerjasama ini sangat besar ertinya antara KPDN dan pemain industri sedia ada dalam usaha kerjaaan untuk mendepani isu kos sara hidup,” katanya. – Berita Harian