Perkukuh sistem penjagaan kesihatan menerusi PPP

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sistem penjagaan kesihatan negara perlu diperkukuh menerusi kerjasama awam dan swasta (PPP) bagi menangani kemungkinan berulangnya pandemik pada masa hadapan.

-Advertisement-

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysa (APHM), Dr Kuljit Singh, berkata ini terbukti apabila hospital swasta mampu membantu kerajaan khususnya bagi proses saringan COVID-19 serta pemindahan sebahagian pesakit lain.

Selain itu, perbincangan menyeluruh perlu dilakukan supaya lebih banyak pihak bersetuju mengenakan bil dan yuran rawatan lebih realistik, termasuk kos sesuai bagi membolehkan hospital swasta terus beroperasi.

“Tiada gunannya kerajaan terus membina banyak kemudahan sedangkan terdapat banyak fasiliti di sektor swasta. Contohnya di Lembah Klang, terdapat lebih banyak hospital swasta berbanding hospital awam,” katanya pada forum ‘Persediaan Sistem Kesihatan Menghadapi Pandemik Seterusnya’ sempena Persidangan Penjagaan Kesihatan 2021 secara maya, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba merasmikan seminar dua hari anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI) bertemakan ‘Memangkin Transformasi Sistem Kesihatan ketika Pandemik – Cabaran dan Peluang’.

Hadir sama, Presiden KSI, Tan Sri Dr Michael Yeoh dan Pengerusi Pasukan Petugas Menangani COVID-19 Selangor merangkap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

-Advertisement-

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata pendekatan PPP sepatutnya bermula sejak awal penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau menjelaskan, saringan dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan berjalan lebih pantas dan mencapai sasaran ditetapkan kerajaan.

“Terdapat lebih 6,000 pengamal perubatan am swasta (GP) dan 20,000 graduan perubatan di seluruh negara yang boleh membantu kerajaan menangani pandemik ini,” tambahnya.

-BH