Najib mahu bersih nama di mahkamah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau mahu kes yang dihadapinya di mahkamah diputuskan melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil serta telus.

-Advertisement-

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia adalah satu-satunya cara untuk membersihkan nama beliau sepenuhnya.

“Saya tidak mahu kes saya digugurkan begitu saja dan saya tidak mahu apa-apa campur tangan politik. Saya amat yakin saya tidak bersalah.

“Sebab itu apa perlunya saya diampun sekiranya saya tak salah? Berani kerana benar,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Najib mengulas tindakan Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menyerahkan warkah kepada Istana Negara, hari ini, bagi mencadangkan supaya beliau diberi pengampunan diraja seterusnya dilantik Perdana Menteri interim.

-Advertisement-

Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz, berkata pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa gagal mengawal penularan jangkitan COVID-19 selain tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Najib berterima kasih kepada PSUAM kerana mengambil berat terhadap diri dan kes mahkamah dihadapinya walaupun tidak pernah berhubung dengan NGO itu dan tidak diberitahu mengenai warkah kepada istana.

-BH