PUTRAJAYA 18 September 2026 (The Capital Post) – Kerajaan memperluas perlindungan subsidi bil elektrik kepada pengguna domestik yang menggunakan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding had sebelumnya sebanyak 600 kWj.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026 sebagai langkah segera bagi menangani tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Melalui keputusan tersebut, pengguna domestik yang mencatat penggunaan sehingga 800 kWj sebulan akan menikmati pengecualian daripada Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga atas peranan masing-masing dalam membolehkan langkah berkenaan dilaksanakan dengan segera.
Menurut beliau, keadaan jerebu dan cuaca yang lebih panas sejak kebelakangan ini turut mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sesetengah isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan seterusnya mengakibatkan peningkatan bil.
-Advertisement-
Kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api serta keadaan pasaran tenaga semasa dalam mempertimbangkan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik.
Pemantauan tersebut mengambil kira keperluan menyeimbangkan kemampuan pengguna dan tekanan kos sara hidup dengan aspek keterjaminan bekalan elektrik serta kemampanan sektor tenaga negara.
Langkah memperluas tahap perlindungan kepada 800 kWj ini berkuat kuasa bagi tempoh penggunaan elektrik dari September hingga 31 Disember 2026 – The Capital Post