Polis gagal cubaan seludup dadah

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEPANG- Cubaan seorang lelaki menyeludup dadah disyaki jenis syabu melalui lapangan terbang gagal apabila polis menemui bahan larangan itu terikat pada bahagian badannya.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (IPD KLIA) ACP Zulkifli Adamsah berkata suspek berumur 41 tahun dari Sarawak itu ditahan semasa melalui mesin pengimbas penerbangan antarabangsa di klia2 pada 7.45 pagi tadi.

Beliau berkata pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah dipercayai jenis syabu seberat 2.09 kilogram dengan nilai RM120,000 yang dibalut pada bahagian badannya.

“Siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang merupakan rakan kepada suspek yang sedang menunggu di balai pelepasan antarabangsa lapangan terbang itu.

“Suspek kedua berumur 29 tahun dari Kuala Lumpur itu dipercayai bertindak selaku ‘lead’ kepada suspek pertama dengan kedua-dua mereka dijangka berlepas ke Surabaya, Indonesia pada pukul 9 pagi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

-Advertisement-

Zulkifli berkata modus operandi suspek yang dipercayai menjadi keldai dadah kepada sindiket dadah antarabangsa itu ialah membawa dadah tersebut ke satu destinasi dengan diberikan bayaran sebanyak RM12,000.

Beliau berkata suspek kedua pula dibayar RM2,000 untuk mengawasi dan sebagai ‘lead’ pergerakan suspek pertama sehingga sampai ke destinasi kerana kali pertama terlibat dalam aktiviti tersebut.

Kedua-dua lelaki ditahan reman sehingga 18 Nov dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279