‘TABITO’ rangkul anugerah Filem Pendek Terbaik MPISFF 2019

Estimate Reading Time: < 1 minute

ARAU- Politeknik METRO Kuala Lumpur merangkul anugerah Filem Pendek Terbaik menerusi karya ‘TABITO’ (There’s A Bun In The Oven) pada Festival Filem Pendek Antarabangsa Politeknik Malaysia 2019 (MPISFF 2019) hari ini.

-Advertisement-

Pasukan yang terdiri daripada tujuh pelajar dan dua pensyarah itu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohammad Naim Yaakub.

Filem arahan Harun Arashid Mohd Ridzuan berdurasi tujuh minit itu turut mengungguli anugerah Pengarah Terbaik.

Harun Arashid, 20, ketika ditemui berkata kumpulannya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan karya tersebut dengan hanya menggunakan dua kamera DSLR.

-Advertisement-

Penganjuran festival filem yang masuk tahun ketiga dengan tema ‘miscommunication’ itu berlangsung di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di sini.

Ia menyaksikan penyertaan 20 politeknik di seluruh negara termasuk sebuah institusi luar negara iaitu Iloilo Science and Technology University, Filipina.- BERNAMA