Polis Pahang lupus dadah bernilai RM1.632 juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN- Polis Pahang akan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.632 juta yang dirampas antara tahun1999 hingga tahun lepas, kata Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

-Advertisement-

Beliau berkata proses pelupusan 15 jenis dadah yang terdiri daripada dadah sintetik dan bukan sintetik itu akan dilaksanakan kontraktor dilantik pada 12 tengah hari esok di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Katanya, proses pelupusan itu melibatkan 4,654 barang kes yang semuanya sudah selesai menjalani proses di mahkamah.

“Dadah paling banyak yang dilupuskan ialah heroin iaitu seberat 9,629.61 gram selain methamphetamine (5,968.09 gram), kanabis (8,939.28 gram), ketamin (499.79 gram) dan nimetazepam (1,980.52 gram).

“Turut dilupuskan ialah yaba (306.77 gram), midazolam (8.06 gram), ekstasi (1,189 gram), cecair ketum (2,762.25 liter), daun ketum (145,622.40 gram), coddein (43.84 liter), pil psikotropik (20.5 gram) dan lain-lain (485.97 gram),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

-Advertisement-

Mohd Yusri berkata berdasarkan rekod, tangkapan dan rampasan dadah yang dilupuskan itu paling tinggi melibatkan kes di Kuantan manakala Cameron Highlands merupakan daerah paling rendah.

Beliau juga memaklumkan terdapat peningkatan sebanyak tujuh peratus di segi jumlah tangkapan individu dalam penyalahgunaan dadah di Pahang untuk tahun ini.

“Bagi bulan Januari hingga Oktober tahun ini, jumlah individu yang ditangkap kerana kes dadah adalah seramai 14,179 orang meningkat daripada 13,266 orang untuk tempoh sama,” katanya.- BERNAMA