Polis sedia bantu PBT pasang CCTV di kawasan strategik

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Polis Pahang sedia membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik dalam usaha membantu mencegah dan menyelesaikan kes jenayah.

-Advertisement-

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata justeru, pihaknya mengalakkan PBT menyediakan CCTV terutama di kawasan bandar.

Katanya, polis sedia membantu sama ada memberikan lokasi tertentu yang bersesuaian untuk meletakkan CCTV berkenaan.

“Kita tahu lokasi tertentu atau kawasan yang dicadangkan perlu diletakkan CCTV bagi memudahkan pemantauan dilakukan jika berlaku kes jenayah di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia MCPF Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Othman dan Naib Pengerusi MCPF Malaysia, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui.

Yahaya berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan pemilik premis perniagaan di negeri ini yang ingin memasang CCTV daripada segi meletakkan peralatan itu pada kedudukan paling tepat di premis mereka.

-Advertisement-

Katanya, kedudukan CCTV itu perlu tepat kerana diyakini membantu membanteras kegiatan jenayah sekiranya berlaku di kawasan terbabit.

“Dengan adanya CCTV, ia turut membantu pemilik premis lain kerana kedudukan CCTV yang dipasang itu berada pada susut yang bersesuaian.

“Sebenarnya, sesetengah tempat memerlukan pemasangan CCTV kerana dapat membantu sama ada mengesan dan menurunkan kes jenayah.

“Bagi saya, CCTV adalah satu keperluan terutama di bandar besar,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373