Padah rompak, menyamar polis, dua rakan dipenjara, disebat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing dikenakan hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana merompak seorang warga Myanmar menggunakan pisau, bulan lalu.

-Advertisement-

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Al Shafik Irwanshah, 26 dan Ahmad Ruhaifi Sufri Saupi, 30, selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 5 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan pisau terhadap Kaung Khant Zaw dan mengambil telefon bimbit milik mangsa yang menyebabkan kerugian RM1,800.

Kesalahan itu dilakukan di Flat Mutiara Fadason, Taman Fadason, Kepong, jam 5.40 petang, 18 Julai lalu, mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

-Advertisement-

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang menunggu lif di tingkat 18 di flat itu didatangi dua tertuduh yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Dua lelaki itu kemudian mengarahkan mangsa masuk ke dalam rumah dan meminta pasport milik pengadu untuk semakan sebelum mengacukan pisau ke arahnya dan mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada lelaki terbabit dan masyarakat awam, namun dua tertuduh itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373