Polis tahan 15 individu disyaki terbabit Daesh

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Polis menahan 15 individu disyaki terbabit Daesh, termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang baiah melalui aplikasi Telegram dengan pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

-Advertisement-

Dalam operasi dilancarkan sejak 10 Julai lalu hingga semalam, polis turut menahan dan mengusir seorang wanita warga India berusia 38 tahun yang juga anggota kumpulan Sikh For Justice (SFJ) yang diharamkan di India.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek warga Indonesia berusia 25 tahun yang ditahan pada 10 Julai lalu, dikesan bertindak sebagai fasilitator.

-Advertisement-

“Suspek adalah individu bertanggungjawab menguruskan pemergian pasangan suami isteri bersama tiga anak warga Indonesia yang melakukan serangan bunuh diri terhadap sebuah gereja di Jolo, selatan Filipina, Disember tahun lalu, selain menyalurkan dana kepada pengganas Maute di selatan Filipina.

“Suspek adalah pekerja ladang kelapa sawit di Keningau, Sabah, sejak awal tahun lalu. Dia juga dikesan merancang untuk menyertai kumpulan Daesh di Syria,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 21 dan 26 tahun di Keningau serta Tenom, Sabah, 6 September lalu, yang turut bertindak sebagai fasilitator terhadap serangan di Jolo.

Selain itu, katanya, pasukan E8 melumpuhkan satu sel baharu Daesh gabungan rakyat Malaysia dengan Indonesia membabitkan 12 individu, termasuk seorang wanita, berusia antara 22 hingga 36 tahun.

“Tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan dan 11 warga Indonesia, termasuk wanita berkenaan.

“Kumpulan ini aktif mempromosikan ideologi Daesh dan merekrut anggota baharu menerusi laman sosial, terutama warga Malaysia dan Indonesia, serta merancang untuk melakukan serangan terhadap kedua-dua negara selepas berjaya merekrut seramai mungkin anggota.

“Kita juga mendapati lelaki Malaysia itu merancang untuk melakukan serangan terhadap ahli politik dan penganut bukan Islam di negara ini atas alasan mereka menindas serta tidak menghormati ajaran Islam serta kaum Melayu,” katanya.

Semua suspek terbabit ditahan dalam operasi bermula 14 September lalu hingga semalam di sekitar Miri, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Semua suspek disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala wanita warga India terbabit pula ditahan mengikut Akta Imigresen dan diusir ke negara asalnya pada 15 Ogos lalu.- Bharian