IPOH 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap dasar dan perkhidmatan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat menerusi pelaksanaan Program MADANI Kita yang berlangsung di Perak.
Beliau berkata, program tersebut merupakan platform bagi mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat sekali gus membolehkan pelbagai isu dan keperluan rakyat ditangani secara lebih pantas dan berkesan. Menurutnya, tanggungjawab kepimpinan bukan sekadar menyediakan pembangunan fizikal, tetapi memastikan kesejahteraan setiap keluarga terus dipelihara.
Sepanjang program itu, Perdana Menteri berpeluang mendengar sendiri pelbagai pandangan serta cabaran yang dihadapi rakyat, termasuk tekanan kos sara hidup yang memberi kesan kepada isi rumah, golongan pekerja dan warga emas. Maklum balas tersebut, katanya, akan terus dijadikan asas dalam merangka dasar serta inisiatif kerajaan yang lebih menyeluruh dan bersasar.
-Advertisement-
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan meneruskan pelbagai program bantuan seperti Jualan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa usaha memperkukuh taraf hidup rakyat akan terus menjadi fokus utama menjelang pembentangan Belanjawan 2027. Kerajaan akan terus menambah baik bantuan serta memperluaskan jaringan perlindungan sosial selaras dengan kemampuan kewangan negara agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh seluruh rakyat. – The Capital Post