IPOH 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2026 yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), sekali gus menandakan bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan di seluruh negara.
Pada majlis berkenaan, orang ramai turut diperdengarkan buat pertama kali lagu tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berjudul Aku Berjanji, yang dipersembahkan oleh penyanyi Faizal Tahir. Lagu tersebut mengetengahkan mesej perpaduan, semangat kebersamaan serta kecintaan terhadap tanah air sebagai inspirasi kepada rakyat untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.
Peluncuran MPBKKJG 2026 menjadi titik permulaan kepada pelbagai pengisian sempena Bulan Kebangsaan yang akan dilaksanakan di seluruh negara. Orang ramai diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, pejabat dan premis masing-masing sebagai tanda semangat patriotisme, di samping mengambil bahagian dalam pelbagai program kenegaraan yang dianjurkan oleh kementerian, jabatan, agensi kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
-Advertisement-
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Encik Mohamad Sobri Mat Daud, bersama barisan tetamu kehormat yang lain bagi memeriahkan pelancaran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026. – The Capital Post