‘Program vaksinasi seluruh negara berjalan seperti biasa, lancar’

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Program vaksinasi bagi memerangi pandemik COVID-19 di seluruh negara berjalan seperti biasa walaupun pentadbiran negara kini diterajui Perdana Menteri sementara tanpa Jemaah Menteri

-Advertisement-

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata urusan dan operasi jentera perkhidmatan kesihatan tidak terjejas, sebaliknya tetap lancar seperti sebelum ini bagi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terus terpelihara.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diselia Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga berjalan seperti biasa.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, tanggungjawab penyelarasan program vaksinasi juga masih lagi berada bawah MOSTI bersama-sama KKM.

“(Ia masih di bawah MOSTI bersama KKM dan segala program dirancang berjalan seperti biasa,” katanya kepada BH, hari ini.

Pembubaran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbulkan persoalan sama ada ia akan menjejaskan pentadbiran kerajaan termasuk pengurusan wabak COVID-19 di negara ini serta pemberian vaksin kepada penduduk dewasa Malaysia, dalam usaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

-Advertisement-

Penyelarasan tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi PICK ketika ini dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang sebelum ini diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

BH sebelum ini melaporkan, selain Khairy, CITF juga diselia dua Pengarah Bersama, iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Mohammad Ab Rahman, manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN), MOSTI dan KKM bertindak sebagai urus setia CITF.

Bagaimanapun, awal Julai lalu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim menggantikan tempat Dr Chong di CITF selepas beliau dipertanggungjawabkan menerajui Pasukan Bertindak Khas Kesihatan Awam Lembah Klang (GKVSTF).

-BH