PTPTN perkenal kemudahan e-JanjiTemu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan kemudahan e-JanjiTemu bagi memudahkan pelanggan mendapatkan janji temu sebelum berurusan di kaunter.

-Advertisement-

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, e-JanjiTemu adalah kemudahan secara dalam talian yang membolehkan pelanggan yang perlu berurusan dengan pegawai PTPTN di kaunter, membuat janji temu terlebih dahulu.

Katanya, usaha itu membolehkan pelanggan PTPTN berurusan dengan lebih mudah dan selamat ketika pandemik COVID-19 sedang melanda negara.

“Kemudahan ini diperkenalkan bagi membantu pelanggan yang mempunyai urusan penting yang memerlukan khidmat pegawai PTPTN secara bersemuka berikutan tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

PTPTN memaklumkan, urusan yang dibenarkan untuk berurusan di kaunter termasuk rundingan penstrukturan pinjaman, pendaftaran penama Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), permohonan penangguhan disebabkan masih belajar.

Penghantaran cek potongan gaji majikan atau cek bendahari (pinjaman atau simpanan), penghantaran borang pembatalan atau pertukaran alamat atau kemas kini nombor akaun, tuntutan takaful pinjaman atau SSPN dan pembatalan ‘direct debit’.

“Urusan lain adalah kekal melalui kaedah secara dalam talian yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya.

PTPTN berkata kemudahan e-JanjiTemu PTPTN ini sudah mula digunakan sejak 26 Julai lalu dan pelanggan hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my dan klik pada e-Perkhidmatan serta melengkapkan maklumat janji temu, maklumat diri dan membuat pengesahan.

“Slip tempahan akan dikeluarkan kepada pelanggan untuk dicetak, muat turun atau tangkap layar bagi dikemukakan ketika hadir di kaunter PTPTN yang terpilih.

“Pelanggan perlu membuat janji temu menggunakan kemudahan e-JanjiTemu PTPTN selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh berurusan,” katanya.

-Advertisement-

Bagaimanapun katanya, jika pelanggan tidak dapat menghadiri janji temu pada tarikh dan masa yang ditetapkan, ia akan terbatal dan perlu membuat tempahan baharu.

Katanya, selain kemudahan e-JanjiTemu PTPTN yang disediakan, PTPTN turut menyediakan saluran perkhidmatan lain iaitu e-Aduan melalui portal rasmi PTPTN atau pelanggan boleh menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan serta Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon yang dipaparkan di pautan https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.

“Perkhidmatan Live Chat di portal rasmi PTPTN dan talian Careline di 03-21933000 juga disediakan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi sehingga 5 petang,” katanya.

Katanya, pelanggan yang perlu berurusan di kaunter perlu memastikan pematuhan garis panduan yang ditetapkan iaitu penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, tidak bergejala, hadir tepat pada tarikh dan masa yang ditetapkan (wakil tidak dibenarkan) dan urusan di kaunter dilakukan dalam waktu yang singkat.

“Pelanggan yang mempunyai janji temu namun dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) adalah tidak dibenarkan berurusan.

“Bagi yang tinggal di luar kawasan pula, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai e-JanjiTemu PTPTN, boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my.

-BH