Purata pendapatan isi rumah di Malaysia merosot

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Purata pendapatan isi rumah kasar bulanan merosot 10.3 peratus kepada RM7,089 tahun lalu, berbanding RM7,901 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

-Advertisement-

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan itu disebabkan pendapatan bergaji dan bekerja sendiri yang menjadi punca utama pendapatan isi rumah masing-masing menyusut 16.1 peratus dan 9.7 peratus pada 2020.

“Penurunan ini disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan, terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain.

“Tambahan pula, pengurangan pendapatan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 yang memuatkan dapatan kajian kesan COVID-19 ke atas pendapatan isi rumah di Malaysia tahun lalu.

Terdapat empat punca pendapatan iaitu pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, harta & pelaburan dan pindahan semasa diterima.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah yang mencatatkan penurunan 11.3 peratus berbanding 2019.

Katanya, nilai pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah pada 2020 ialah RM5,209 berbanding RM5,873 tahun sebelumnya.

“Semua negeri mencatatkan penurunan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah. Putrajaya merekodkan penurunan pendapatan isi rumah bulanan paling rendah.

-Advertisement-

“Putrajaya kekal mencatatkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah paling tinggi berbanding negeri lain masing-masing sebanyak RM12,322 dan RM9,743.

“Manakala, Kelantan masih merekodkan pendapatan purata dan penengah paling rendah masing-masing sebanyak RM4,411 dan RM3,010,” katanya.

Beliau berkata, majoriti isi rumah mengalami pengurangan pendapatan di mana kebanyakan isi rumah daripada kumpulan pendapatan lebih tinggi beralih kepada kumpulan pendapatan yang lebih rendah.

“Pada 2020, bilangan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 bertambah sebanyak 12.5 peratus.

“Sementara itu, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada kumpulan B40.

“Isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 turut terkesan akibat pandemik COVID-19 yang mana sebanyak 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan ini beralih kepada kumpulan M40,” katanya.

-BH