Pyongyang curi data dengan palsukan laman web popular Korea Selatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEOUL: Korea Utara didakwa mencipta versi palsu portal internet terbesar Korea Selatan, Naver, sebagai satu daripada serangan untuk memancing data yang direka bagi mengumpul maklumat peribadi.

-Advertisement-

Menurut Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan, Pyongyang mencipta laman web palsu yang meniru halaman utama Naver, termasuk bahagian berita secara langsung, perdagangan dan hartanahnya.

Naver, satu daripada syarikat teknologi terbesar Korea Selatan menyediakan perkhidmatan peta, perkhidmatan kewangan dan blog popular serta forum sembang yang digunakan rakyat mereka setiap hari.

NIS berkata, laman web itu naverportal.com direka untuk menggodam identiti (ID) dan kata laluan Naver milik warga Korea Selatan, sekali gus memberikan Pyongyang akses kepada data peribadi yang berharga.

“Kami meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati kerana kaedah serangan penggodaman Korea Utara dikesan semakin canggih.

“Orang ramai diminta untuk berhenti mengakses laman web Naver jika melihat halaman URL domain akses itu bukan standard seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut NIS, beberapa langkah tindakan sudah diambil untuk menyekat laman web palsu itu.

-Advertisement-

Sementara itu, Kementerian Luar hari ini memutuskan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan firma keselamatan siber Amerika Syarikat (AS) dan anak syarikat Google, untuk bertindak balas dengan lebih baik terhadap aktiviti siber Korea Utara.

“Korea Utara sedang melakukan serangan siber daripada pelbagai sudut seperti kecurian mata wang kripto dan penggodaman maklumat sensitif di seluruh dunia.

“Aktiviti itu bukan saja menyebabkan kerosakan harta benda kepada individu dan syarikat, tetapi juga menimbulkan ancaman serius kepada ekosistem teknologi maklumat (IT) global secara keseluruhannya,” katanya melalui kenyataan.

Menurut Seoul, Tokyo dan Washington, Pyongyang mencuri sebanyak AS$1.7 bilion dalam mata wang kripto tahun lalu dan menyokong program senjatanya dengan mengumpul maklumat melalui aktiviti siber.

– AFP

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373