Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila mata wang negara maju itu terus mengukuh susulan pengumuman terbaru oleh Bank of Japan (BOJ) untuk membeli Bon Kerajaan Jepun (JGB) berjangka 10 tahun mulai 29 hingga 31 Mac 2022.

-Advertisement-

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2200/2245 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2175 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengumuman itu telah menyebabkan yen Jepun mengalami penyusutan kepada 123.75 bagi setiap dolar AS daripada julat hanya 113 hingga 114 pada awal Mac.

“Berikutan itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.31 peratus kepada 99.091 mata,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa krisis geopolitik akan terus menjadi punca ketidakstabilan pasaran.

“Rundingan antara pegawai Ukraine dan Rusia juga akan dimulakan minggu ini dengan harapan beberapa kemungkinan resolusi antara kedua-dua negara boleh dicapai dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata pada minggu ini, tumpuan pelabur adalah pada pembayaran gaji bukan ladang dan kadar pengangguran AS selain mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

-Advertisement-

Jelas sekali pemulihan ekonomi global adalah tidak sekata dan kecepatan penarikan balik sokongan monetari juga berbeza-beza, katanya.

Beliau berkata justeru, ringgit berbanding dolar AS diunjurkan kekal lemah, mungkin pada sekitar julat semasa.

Pada awal dagangan hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.5202/5261 daripada 5.5362/5388 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.6310/6360 daripada 4.6316/6338.

Ringgit stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.0995/1033 daripada 3.0996/1016 semalam bagaimanapun susut berbanding yen kepada 3.3991/4033 daripada 3.3982/4001.

– Bernama -BH