Ringgit dibuka rendah menjelang pengumuman KDNK

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan minat belian menjelang data mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat Malaysia yang akan dikeluarkan esok, kata penganalisis.

-Advertisement-

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1825/1850 pada Rabu.

Penganalisis itu berkata, pelabur berada dalam sentimen berhati-hati berikutan lonjakan kes harian COVID-19 yang mempengaruhi pergerakan ringgit.

Semalam, dilaporkan bahawa jumlah kes COVID-19 negara meningkat kepada 17,134 kes baharu daripada 13,944 kes dicatatkan pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan pergerakan di Wall Street malam semalam, ringgit Malaysia boleh meningkat hari ini.

“Ekuiti penanda aras seperti Standard and Poor’s 500 serta Nasdaq, masing-masing naik 1.45 peratus dan 2.08 peratus malam semalam berikutan laporan pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan daripada Disney dan beberapa syarikat teknologi lain.

“Sementara itu, hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun susut sebanyak dua mata asas kepada 1.94 peratus walaupun Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Januari dijangka melebihi tujuh peratus tahun ke tahun,” katanya kepada Bernama.

-Advertisement-

Sehubungan itu, katanya ringgit boleh berada antara RM4.17 dan RM4.18 berbanding dolar AS hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6203/6229 daripada 3.6250/6275 pada Rabu, naik berbanding pound kepada 5.6622/6663 daripada 5.6765/6799 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7769/7803 daripada 4.7785/7814.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1173/1197 daripada 3.1148/1169 sebelum ini.

-BERNAMA -BH