Ringgit kukuh berbanding dolar AS, mata wang utama dalam awal dagangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta beberapa mata wang utama Asia dan bukan Asia hari ini, manakala mata wang negara maju itu lemah selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS menaikkan kadar faedah utamanya kepada paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun.

-Advertisement-

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5240/5290 berbanding dolar AS daripada 4.5470/5505 sewaktu ditutup pada Rabu.

Peniaga berkata, langkah Fed menaikkan Kadar Dana Fed sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 5.50 peratus telah dijangkakan berikutan usahanya untuk terus memerangi inflasi yang berterusan dalam ekonomi AS.

Menurut laporan, Indeks Dolar AS (DXY) menyusut sebanyak 0.32 peratus kepada 101.02 mata, manakala hasil Perbendaharaan AS dua tahun menguncup 2.0 bps untuk ditutup kepada 4.85 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keadaan itu menunjukkan bahawa bank pusat AS akan bergantung kepada data dalam usaha untuk merendahkan kadar inflasi AS kepada sasaran 2.0 peratus.

“Kami yakin ini akan memberikan sokongan kepada AS$/RM. Mungkin ringgit akan bergerak sekitar paras RM4.54 berbanding dolar AS,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, ringgit berbanding dolar AS ditutup pada RM4.5487 iaitu rendah sedikit berbanding paras sokongan RM4.5491 semalam.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

-Advertisement-

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.0162/0218 daripada 5.0353/0392 sewaktu ditutup pada Rabu, naik berbanding pound kepada 5.8550/8614 daripada 5.8715/8761 semalam dan menokok berbanding yen kepada 3.2231/2269 daripada 3.2402/2429 sebelum ini.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.4154/4194 daripada 3.4265/4297 sewaktu ditutup semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.1/301.5 daripada 302.6/303.0.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.31 daripada 8.32/8.33 sebelum ini dan naik kepada 13.2513/2714 berbanding baht Thailand daripada 13.2747/2904 sewaktu ditutup semalam.

– Bernama

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373