Saham Arif Aiman, Faisal dijangka terus melonjak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Nilai pasaran pemain muda negara, Arif Aiman Hanapi dijangka terus meningkat susulan prestasi cemerlang yang ditampilkan bersama Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

-Advertisement-

BH Sukan, semalam melaporkan tanda harga pemain berusia 20 tahun itu naik mendadak apabila nilai pasarannya kini mencecah £270,000 (RM1.4 juta) berbanding £135,000 (RM728,365) pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, nilai pasaran yang diletakkan oleh www.transfermarkt.co.uk itu berdasarkan kemas kini terbaru laman berkenaan pada 19 Mei lalu.

Justeru, nilai Arif Aiman dijangka meningkat dalam kemas kini akan datang susulan prestasinya bersama Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia awal bulan ini selain akan terus menjadi tonggak penting JDT di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Selain Arif Aiman, nilai pasaran seorang lagi pemain sedang meningkat naik, Faisal Halim juga dijangka terus meningkat selepas pemain Terengganu FC (TFC) itu berjaya menunjukkan prestasi terbaik bersama skuad kebangsaan.

Nilai pasaran Faisal turut menunjukkan peningkatan mendadak apabila dia kini memegang tanda harga £225,000 (RM1.2 juta) berbanding £135,000 (RM728,365) pada November lalu.

Pengasas bersama Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar menjelaskan aksi pemain di kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini juga akan memberi kesan kepada nilai pasaran pemain.

Beliau berkata, pemain seperti Arif Aiman dan Faisal perlu meneruskan momentum cemerlang bersama kelab pula bagi memastikan nilai pasaran mereka terus meningkat dalam kemas kini terbaru yang akan dibuat laman transfermarkt itu.

-Advertisement-

“Nama Arif Aiman dan Faisal tengah meningkat dekat Malaysia, mereka dalam prestasi terbaik. Memang nilai pasaran mereka dijangka meningkat.

“Nilai pasaran Arif Aiman naik lebih tinggi kerana ia turut dibantu faktor prestasi JDT di dalam liga dan beraksi di ACL. Kalau tanya saya, JDT banyak bantu dia meningkatkan mutu dan daya saing permainannya.

“Dikhabarkan terdapat beberapa ejen pemain dari luar negara juga sedang memantau Arif Aiman selepas dia mempamerkan prestasi cemerlang di ACL tempoh hari dan ia perkara yang baik untuk perkembangan karier serta nilai pasarannya.

“Safawi Rasid pun kita harap dia boleh naikkan semula nilai pasarannya dengan dia dilihat sudah kembali bangkit dengan prestasi lebih baik,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Faidauz menjelaskan kejayaan Arif Aiman merangkul anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik serta muncul pemain termuda merangkul anugerah utama iaitu Pemain Paling Bernilai (MVP) tahun lalu juga menyumbang kepada peningkatan nilai pasarannya.

-BH