Saham penjagaan kesihatan lonjak Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada sesi awal urus niaga pagi ini, disokong oleh beberapa kaunter berwajaran tinggi membabitkan sektor penjagaan kesihatan di tengah-tengah peningkatan kes harian COVID-19 di dalam negara, kata seorang penganalisis.

-Advertisement-

Malaysia mencatatkan 10,089 kes baharu COVID-19 pada Ahad, menyaksikan jumlah terkumpul sebanyak 2,914,220 kes.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.96 mata kepada 1,528.72 daripada 1,522.76 pada penutupan urus niaga Jumaat, selepas dibuka 2.47 mata lebih tinggi pada 1,525.23.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 255 berbalas 121 manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,603 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 211.82 juta unit bernilai RM120.25 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, sektor penjagaan kesihatan mungkin mendapat perhatian terutama dengan peningkatan kes harian COVID-19.

“Namun begitu, bursa tempatan akan kekal tidak menentu dengan kes harian COVID-19 mencecah melebihi paras 10,000 pada Ahad di bawah gelombang Omicron,” katanya.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Top Glove meningkat 11 sen kepada RM2.28, Hartalega lebih tinggi sebanyak 13 sen kepada RM5.73, Press Metal menambah 18 sen kepada RM6.39, dan Maybank menokok empat sen kepada RM8.30.

Bagi saham aktif, DneX naik dua sen kepada RM1.03, AT Systematization menambah setengah sen kepada tiga sen dan Alam Maritim kekal pada 3.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE mengukuh 42.82 mata kepada 6,228.56, FBM 70 meraih 53.10 mata kepada 13,532.35, Indeks FBM Emas lebih tinggi 44.30 mata kepada 11,003.87, Indeks FBMT 100 peroleh 41.71 mata kepada 10,684.64 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 68.40 mata kepada 11,735.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 26.34 mata kepada 15,812.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula 1.80 mata lebih baik pada 205.10, dan Indeks Perladangan menambah 0.89 mata menjadi 6,544.75.

-BERNAMA -BH