Salah halang kejutan Salzburg

Estimate Reading Time: < 1 minute

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool Jurgen Klopp percaya masih banyak ruang untuk peningkatan buat juara Eropah itu selepas merakam kemenangan 4-3 ke atas Salzburg dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

-Advertisement-

Bagaimanapun Liverpool nyaris dikejutkan kelab Austria itu yang bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menyamakan kedudukan sebelum Mohamed Salah meledak gol kemenangan.

Sadio Mane membuka jaringan ke atas bekas kelabnya pada minit kesembilan diikuti jaringan Andy Robertson dan Salah pada minit ke-25 dan 36.

Juara Austria itu bagaimanapun merapatkan jurang sebelum rehat menerusi Hwang Hee-Chan. Takumi Minamino dan penyerang remaja sensasi, Erling Braut Haaland memastikan kedudukan kembali seimbang sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian di babak kedua.

“Kami membuka pintu dan mereka masuk dengan mudah,” kata Klopp. “Lebih baik belajar di dalam permainan daripada bercakap tentangnya selepas itu.

“Ia pelajaran penting untuk kami. Sebelum ini saya sedar kami perlu meningkatkan persembahan dan sekarang semua orang menyedarinya.”

-Advertisement-

Liverpool tertekan untuk mendapatkan kemenangan di Anfield selepas kekalahan 2-0 kepada Napoli pada perlawanan pertama Kumpulan E.

Musim lalu anak buah Klopp tewas ketiga-tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan di tempat lawan, tetapi menang semua perlawanan di laman sendiri dan kemudian mengharungi saingan untuk kejuaraan keenam mereka.

“Kami berusaha habis-habisan sehingga kedudukan 3-3, mungkin pemain-pemain kami sedikit keletihan dan kami menentang pasukan yang hebat,” kata pengendali Salzburg Jesse Marsch.

“Perkara penting ialah belajar daripada kekalahan ini untuk memberikan peluang kepada kami melepasi peringkat kumpulan ini.” – BHarian