Samun, rompakan ganas ‘begal’ meningkat di Indonesia

Estimate Reading Time: 3 minutes

MEDAN: Beberapa siri kes rompakan ganas lagi kejam bersenjatakan parang di Indonesia menyebabkan ahli politik menggesa supaya penjenayah yang bertembung dengan polis ditembak mati.

-Advertisement-

Desakan itu bagaimanapun dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai tindakan membenarkan pembunuhan di luar undang-undang.

Bulan lalu, polis di bandar Medan di utara Sumatera menembak mati seorang ‘begal’, istilah yang digunakan untuk pencuri jalanan yang terkenal dengan kekejaman mereka ketika merompak atau menyamun.

Tindakan keras itu sebahagian daripada apa yang dikatakan pasukan pihak berkuasa sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan mereka secara berkesan.

Datuk Bandar Medan, Bobby Nasution, yang juga menantu Presiden Joko Widodo (Jokowi), memuji pegawai terbabit dan berkata penjenayah seperti itu harus ditembak mati di tempat kejadian.

“Saya menghargai tindakan ini kerana ‘begal’ dan penjenayah tidak mempunyai tempat di Medan,” tulisnya dalam catatan Instagram pada 9 Julai, di mana beliau turut berkongsi rakaman mayat suspek.

Jokowi tidak mengulas mengenai kenyataan Nasution, namun pemimpin lain, termasuk gabenor wilayah Sumatera Utara, turut menyokong komen berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International Indonesia, Usman Hamid, mahukan siasatan ke atas pembunuhan itu, dan mengutuk retorik itu sebagai memberi pegawai dan rakyat hak untuk mengambil undang-undang ke tangan mereka sendiri.

“Adalah tidak wajar bagi pegawai awam untuk mengisytiharkan sokongan terhadap tindakan luar undang-undang seperti itu,

“Menembak penjenayah seperti ini bukan saja melanggar prinsip hak asasi manusia, sebaliknya menafikan hak untuk hidup, hak untuk perbicaraan yang adil dan keperluan mematuhi peraturan,” katanya kepada AFP.

Peraturan polis Indonesia menyatakan senjata api hanya boleh digunakan sebagai pilihan terakhir pegawai.

 

Polis Indonesia melakonkan semula aksi jenayah rompakan dan pembunuhan yang dilakukan ‘begal’ di Semarang, jawa Tengah, Indonesia. - Foto AFP
Polis Indonesia melakonkan semula aksi jenayah rompakan dan pembunuhan yang dilakukan ‘begal’ di Semarang, jawa Tengah, Indonesia. – Foto AFP

 

Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah Indonesia menyifatkan kata-kata Nasution sebagai tidak bertanggungjawab tetapi beberapa sentimen awam, bagaimanapun, berpihak kepada Datuk Bandar.

Sebelum ini tular video serangan ke atas ‘begal’ oleh pengguna media sosial, menggesa pencuri ditembak mati atau berdepan hukuman mati.

Di sebuah kampung di timur Jakarta, pemimpin tempatan menawarkan hadiah 10 juta rupiah (AS$662) untuk menangkap ‘begal’.

Modus Operandi ‘begal’ adalah menyerang mangsa dengan kejam menggunakan sabit, senapang angin atau batu sehingga mereka tidak bermaya, sebelum mencuri.

-Advertisement-

Serangan seperti itu semakin meningkat dalam kalangan rakyat Indonesia di ibu kota Jakarta, Medan dan pusat bandar lain.

‘Begal’ mendekati mangsa mereka dengan skuter, biasanya di kawasan yang dipilih dengan teliti terutama kerana tidak banyak kamera litar tertutup (CCTV), supaya mereka dapat melarikan diri dengan pantas selepas rompakan.

“Mereka perlu melakukannya dengan cepat dan kejam untuk memastikan mangsa segera menyerah diri,” kata Adrianus Meliala, pakar kriminologi di Universiti Indonesia.

Medan, bandar kelima terbesar di Indonesia, merekodkan 45 serangan ‘begal’ sejak Januari, kata polis, dan satu kes kejam dua bulan lalu menyebabkan kekecohan.

 

Anggota polis mengiringi Baghastian Wahyu Kisara (tengah, bergari), suspek kes rompak dan samun yang menyebabkan kematian seorang penunggang skuter, di Semarang, jawa Tengah, Indonesia. - Foto AFP
Anggota polis mengiringi Baghastian Wahyu Kisara (tengah, bergari), suspek kes rompak dan samun yang menyebabkan kematian seorang penunggang skuter, di Semarang, jawa Tengah, Indonesia. – Foto AFP

 

Pelajar, Insanul Anshori Hasibuan, yang sedang menunggang skuter untuk pulang ke rumah, cedera apabila seorang lelaki menetak kepalanya dengan parang dan mencuri dompetnya.

Hasibuan, 22, meninggal dunia di hospital selepas penyerang dan beberapa rakan penjenayah melarikan diri dengan kandungan dompet yang hanya 70,000 rupiah (USD4.60).

Empat suspek kemudian ditahan, dan berdepan hukuman penjara 15 tahun jika bersabit kesalahan.

Serangan kejam seperti itu berleluasa di seluruh media Indonesia, sehingga menimbulkan ketakutan orang ramai.

Menurut data rasmi, kadar rompakan meningkat pada 2023, tetapi pakar mengatakan data jenayah Indonesia sering tidak lengkap kerana kurang dilaporkan.

Pasukan polis negara Indonesia tidak menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

“Fenomena ‘begal’ tidak dapat dipisahkan daripada sosio ekonomi masyarakat,” kata Ida Ruwaida dari Universiti Indonesia.

Kumpulan hak asasi manusia berkata mereka bimbang bahawa gesaan oleh ahli politik terkemuka seperti Nasution untuk membunuh suspek di lokasi jenayah boleh mengakibatkan kekecohan di jalanan negara itu.

“Kami bimbang kenyataan Datuk Bandar Medan akan membuka ruang untuk lebih banyak pembunuhan di luar undang-undang. Ini amat berbahaya,” kata Hamid. – AFP


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373