‘Saya akan jawab soalan Muhyiddin di Parlimen esok’ – Anwar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia menjawab segala persoalan berbangkit berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia, yang ditandatanganinya baru-baru ini, di Parlimen esok.

-Advertisement-

Perdana Menteri berkata, isu terbabit akan dijawabnya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) pada persidangan Dewan Rakyat.

“Saya akan jawab di Parlimen esok semasa PMQ,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuntutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meminta Perdana Menteri supaya memberi penjelasan berhubung perjanjian berkenaan.

Dalam laporan media semalam, Muhyiddin dilaporkan meminta Perdana Menteri, memberi penjelasan mengenai perjanjian sempadan maritim yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia, minggu lalu.

Muhyiddin mendakwa perjanjian itu ditandatangani walaupun dinasihatkan oleh pakar maritim supaya tidak berbuat demikian.

“Pakar maritim memberitahu jangan sain (tandatangan), tapi dia sain juga. Dalam soal ini tidak boleh buat keputusan dengan mudah, yang boleh menyebabkan kawasan negara kita diambil oleh orang lain.

“Saya tak menuduh beliau (Perdana Menteri), tapi nak minta beliau beri penjelasan, atau beri kenyataan dan keterangan kepada rakyat secara terbuka, tanpa selindung.

-Advertisement-

“(Nak tahu) Apa yang dimeterai dalam perjanjian itu. Indonesia negara sahabat kita tetapi berkaitan kedaulatan negara ini, tidak boleh berkompromi walau seinci pun,” kata ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat PN Negeri Sembilan yang diadakan Senawang, di sini, malam kelmarin.

Perjanjian itu ditandatangani ketika lawatan kerja dua hari Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi ke Malaysia, minggu lalu.

Anwar dan Jokowi menyaksikan pertukaran enam instrumen dua hala yang ditandatangani kedua-dua negara di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Khamis lalu.

Antara instrumen itu adalah ialah Perjanjian Lintas Sempadan; keselamatan perairan iaitu Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata walaupun membabitkan negara jiran dan sahabat, namun hak dan kedaulatan negara perlu dipertahankan.

“Di peringkat antarabangsa, walaupun jiran dan sahabat, kita mesti pertahankan hak dan kedaulatan kita sendiri,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373