Saya layak dipilih, bukan mengampu – Zed Zaidi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menepis tuduhan segelintir pihak yang mendakwa pelantikan semula dirinya sebagai ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mulai 1 Ogos lalu adalah hasil ‘mengampu’ pemimpin tertinggi agensi kerajaan itu.

-Advertisement-

Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil, 43, menjelaskan, pelantikan sebagai ahli FINAS disebabkan perbadanan itu percaya dengan kesungguhannya memperjuangkan isu industri kreatif sejak dahulu lagi.

“Pelantikan semula sebagai ahli FINAS disebabkan orang tahu kepakaran kita dan bagaimana kelebihan saya boleh membantu Kementerian Komunikasi dan Digital serta agensi itu untuk sama-sama membangunkan industri kreatif.

“Saya sudah berpuluh tahun dalam bidang ini. Mereka (FINAS) nampak betapa saya konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan industri seni kreatif.

“Ini termasuk desakan mewujudkan akta berkaitan seni, membela hak dan kebajikan penggiat industri , isu kontrak dan pelbagai permasalahan lain,” katanya kepada BH Online.

Bukan sahaja reputasi dibina sejak 11 tahun menjadi Presiden SENIMAN, malah, akui pelakon drama Gerak Khas ini, kelayakan pendidikan memberi nilai tambah kepadanya diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab itu.

“Saya ada kelayakan daripada segi pendidikan. Saya ada ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi serta sarjana dalam bidang pendidikan khusus dalam pengurusan dan kepimpinan.

“Kelebihan itulah yang mereka (FINAS) nampak hingga membolehkan saya dilantik semula untuk duduk di kerusi ahli FINAS,” katanya.

-Advertisement-

Melahirkan hasrat menyambung semula beberapa isu tertangguh selepas kontraknya sebagai ahli FINAS dibatalkan, Januari lalu, Zed bagaimanapun belum bersedia untuk menjelaskan secara terperinci perkara itu.

“Segala perkara berkaitan dasar dan garis panduan hanya boleh dikongsi selepas mesyuarat bersama semua ahli FINAS.

“Kena tunggu portfolio mana yang kami diletakkan sebelum keluarkan sebarang kenyataan membabitkan hala tuju perbadanan,” katanya.

Sebelum ini, status dimuat naik Zed di Instagram (IG) menimbulkan tanda tanya apabila beliau membangkitkan kisah ‘aniaya’ dalam entri berbentuk foto yang memaparkan beliau menerima surat pelantikan daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Antara lain, melalui entri itu, Zed menulis:

“Orang yang teraniaya selalu diangkatkan darjatnya semula. Macam tu la kehidupan berorganisasi, takut ada orang merah mata tengok gambar gambar ini.”

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373