SC buka permohonan felo kewangan Islam di Universiti Oxford

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka permohonan bagi pencalonan Felo Pelawat kesembilan di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), di bawah program Sarjana Tamu Dalam Kewangan Islam (SIR) bagi tahun akademik 2020/2021 yang bermula Oktober tahun depan.

-Advertisement-

SC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemohon perlu mempunyai pengalaman yang luas dalam Kewangan Islam atau mana-mana disiplin yang berkaitan serta mempunyai kecekapan dalam menjalankan penyelidikan akademik bebas.

“Tarikh tutup permohonan pada 3 Feb depan. Sarjana yang terpilih akan tinggal di Oxford untuk menjalankan penyelidikan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti akademik di OCIS.

-Advertisement-

“Selain itu, Felo Pelawat juga perlu untuk memberi syarahan dan mengendalikan seminar, terlibat dalam kerjasama kajian dan melakukan jangkauan kepada institusi yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Program SIR diwujudkan pada 2012 susulan resolusi yang dibuat pada Sidang Meja Bulat SC-OCIS mengenai Kewangan Islam. Ia telah mendapat sambutan di peringkat global daripada pelbagai bidang kuasa, mewakili kepelbagaian dan penerimaan kewangan Islam seluruh dunia.- BERNAMA