SELANGOR 24 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kontinjen Selangor mencapai sasaran 80 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas pasukan wanita Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berjaya meraih emas dalam acara E-Sports.
Kejayaan tersebut menjadi pencapaian penting buat kontinjen tuan rumah apabila sasaran 80 pingat emas yang ditetapkan berjaya direalisasikan menerusi prestasi cemerlang atlet dalam pelbagai acara sepanjang temasya.
Pingat emas berkenaan turut diraikan bersama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi; Ketua Kontinjen Selangor, YB Tuan Abbas Salimmi bin Che Adzmi@Azmi; serta Pengarah Eksekutif MSNS, YBrs. Tuan Mohamad Nizam bin Marjugi.
Pencapaian 80 emas itu mencerminkan prestasi konsisten kontinjen Selangor yang dibarisi atlet daripada pelbagai disiplin sukan, selain hasil kerja keras atlet, jurulatih, pegawai dan seluruh pasukan sokongan.
-Advertisement-
Kejayaan tersebut turut menyemarakkan semangat kontinjen Selangor untuk meneruskan saingan sehingga penghujung temasya, selain menjadi satu pencapaian membanggakan buat negeri selaku tuan rumah SUKMA XXII.
Seluruh kontinjen Selangor menerima penghargaan atas usaha dan komitmen yang menyumbang kepada pencapaian sasaran 80 pingat emas pada temasya kali ini. – The Capital Post