SOSMA: Khairuddin dapat ganti rugi RM300,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendapat ganti rugi am RM300,000 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan samannya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan tujuh pihak lagi berhubung penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-Advertisement-

Hakim Quay Chew Soon yang bersidang secara dalam talian di Pulau Pinang bagaimanapun menolak tuntutan saman bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu terhadap kelapan-lapan pihak berhubung pendakwaan berniat jahat terhadapnya.

Mahkamah berpuas hati Khairuddin selaku plaintif berjaya membuktikan bahawa beliau telah ditahan secara salah di Penjara Sungai Buloh pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

-Advertisement-

Selain Khalid, turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntututan saman itu ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali; Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd. Daud; bekas Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud; Asisten Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintenden C. Muniandy, Suprintendan Habibi Majinji dan Kerajaan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.– Utusan