Suami dipenjara 10 tahun dan 10 sebatan, isteri dibebaskan tuduhan dadah

Estimate Reading Time: < 1 minute

MUAR: “Selepas ini, jauhkan daripada dadah. Kamu patut bersyukur kerana mahkamah mengurangkan hukuman terhadap kamu,” demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi, Suria Kumar Dorairaj sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta 10 sebatan ke atas mekanik, Muhammad Akif Md Yusuf, hari ini.

-Advertisement-

Muhammad Akif, 36, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 56 gram (g), dua tahun lalu.

Dia yang sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, menghadapi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 39A (2) akta sama.

Isterinya, Noor Azizah Azmi, 35, yang juga didakwa atas pertuduhan sama dibebaskan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Dato Haji Hassan, Jalan Bakri, di sini pada jam 3.30 pagi, 13 September 2021.

Dalam serbuan itu, polis menemui satu paket lutsinar dadah yang disembunyikan di ruang enjin kereta jenis Perodua Myvi milik isterinya.

Susulan penemuan itu, polis kemudian menahan tertuduh untuk siasatan lanjut.

-Advertisement-

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibacakan bersama Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta minimum 10 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi dan Ummi Amyra Natasya Azhar manakala tertuduh diwakili M Jayaram.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman paling ringan dengan mengambil kira pengakuan tertuduh.

Bagaimanapun, Putera Amirool mahu hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira trend hukuman berkaitan dadah selain demi kepentingan awam.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373