Suntikan vaksin bergerak di Pulau Pinang bermula

Estimate Reading Time: 2 minutes

BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang hari ini memulakan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) untuk memberikan suntikan imuninasi COVID-19 secara bergerak kepada penduduk kampung yang mempunyai masalah kesihatan dan berdepan kesukaran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

-Advertisement-

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Tengah merangkap Penyelaras program berkenaan, Kapten (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini, berkata buat permulaan MOVAK diadakan di dua lokasi dalam daerah Seberang Perai Tengah sebelum ia diperluaskan di daerah lain di seluruh Pulau Pinang.

Katanya, Angkatan Pertahanan Awam (APM) diberikan tanggungjawab menjadi penyelaras untuk program itu yang menyasarkan golongan kurang upaya (OKU), warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kritikal.

“Buat masa ini, daerah Seberang Perai Tengah menjadi perintis terlebih dahulu untuk program ini sebelum diperluaskan ke daerah lain di seluruh negeri.

“Kita berharap program seperti ini dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam komuniti khususnya penduduk kampung yang tinggal di kawasan pedalaman serta jauh untuk pergi ke PPV,” katanya ketika ditemui sempena program berkenaan di Kampung Guar Jering, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 250 penduduk membabitkan lapan kampung dalam Dewan Undangan Negesi (DUN) Penanti menerima suntikan vaksin COVID-19 melalui program yang diadakan itu.

“Dalam program ini, selain menjalankan proses suntikan vaksin di dalam bas, sebanyak dua katil turut disediakan khusus untuk penerima vaksin yang tidak berdaya terutamanya warga emas atau mereka yang berkerusi roda.

-Advertisement-

“Kita juga melaksanakan suntikan dari rumah ke rumah bagi mereka yang masih tidak mempunyai upaya untuk datang ke program ini” katanya.

Beliau berkata, seramai 70 petugas terdiri daripada anggota APM termasuk Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Perpaduan negeri, pejabat DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terbabit dalam program sehari yang diadakan bermula jam 9 pagi tadi.

Sementara itu, seorang penduduk, Othman Aripin, 62 teruja apabila program berkenaan diadakan di kampung halamannya.

“Selalu nampak tengok dalam televisyen dan baca berita sahaja tetapi hari ini siapa sangka saya yang menerimanya. Tambahan pula datang suntik dengan kawan-kawan jadi hilang rasa debar dan takut.

“Program ini memang beri kemudahan kepada penduduk kampung di sini yang tidak perlu pergi jauh hingga ke Seberang Jaya untuk menerima suntikan vaksin.” kata warga emas itu. – BH