Suspek bunuh isteri direman 7 hari

Estimate Reading Time: < 1 minute

DUNGUN: Lelaki yang dipercayai membunuh isterinya menggunakan tukul besi di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi di sini, pagi semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

-Advertisement-

Suspek berusia 32 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun kira-kira jam 8.40 pagi tadi dan perintah tahanan reman ke atasnya dikeluarkan oleh Majistret Noradila Ab Latif.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata polis mendapat perintah reman terhadap suspek sehingga Rabu depan.

“Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan oleh anggota polis semalam sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

Dalam kejadian semalam, suspek dipercayai bertindak membunuh isterinya, Rubiah Sabtu, 41, dengan memukul di bahagian muka dan kepala dipercayai menggunakan tukul besi.

-Advertisement-

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi itu selepas mangsa pulang ke rumah sebaik selesai menghantar seorang anaknya di sebuah sekolah berhampiran.

Suspek dipercayai bertindak demikian disebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka.

Terdapat enam kesan kecederaan akibat hentakan kuat dipercayai menjadi punca kematian Rubiah dengan pemeriksaan fizikal ke atas mangsa menemukan dua kesan hentakan pada bahagian mata kanan serta di bahagian dahi, hidung, mulut dan telinga kanan mangsa. – Berita Harian