Thailand sedia sertai bidaan dengan ASEAN anjur Piala Dunia FIFA

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANGKOK- Thailand sedia menyertai bidaan bersama negara Asia Tenggara lain bagi menganjurkan Piala Dunia FIFA 2034, lapor agensi berita Thailand (TNA) memetik kenyataan Menteri Pelancongan dan Sukan, Pipat Ratchakitprakan.

-Advertisement-

Selepas bermesyuarat mengenai bidaan untuk menganjurkan saingan kemuncak bola sepak empat tahun sekali itu, menteri terbabit berkata, Thailand bersedia membida bersama ASEAN sejajar dengan dasar Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha.

Sebuah jawatankuasa kerja yang diketuai setiausaha tetap pelancongan dan sukan, ditubuhkan berhubung isu berkenaan.

ASEAN dianggotai Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Brunei.

-Advertisement-

Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT), Kongsak Yodmanee berkata, setakat ini belum ada padang bola sepak yang mematuhi piawaian FIFA di negara itu.

Bagaimanapun, stadium sedia ada boleh dinaik taraf dan sebuah stadium baharu akan dibina di Chon Buri sebagai persiapan negara itu untuk menganjurkan Olimpik Musim Panas 2026.

Venue lain seperti Stadium Kebangsaan Rajamangala di Bangkok, Stadium Ulang Tahun ke-700 Chiangmai dan Stadium Ulang Tahun ke-80 Raja Thailand, Kompleks Sukan 5 Disember 2007 di Nakhon Ratchasima juga akan dinaik taraf.– BERNAMA