‘Tiada percanggahan angka pelajar tidak ambil SPM’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengesahkan hampir 30,000 direkodkan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang turut membabitkan calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan awam itu.

-Advertisement-

Timbalan Menteri, Lim Hui Ying, berkata jumlah yang tepat seramai 29,663 daripada 388,832 tidak mengambil peperiksaan awam itu, tahun lalu.

Katanya, tiada percanggahan angka yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia menyenaraikan jumlah keseluruhan yang tidak mengambil peperiksaan termasuk mereka yang hanya mendaftar satu mata pelajaran saja.

“Apa yang dinyatakan bekas Menteri Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) mengenai hanya 14,858 atau 3.8 peratus itu calon tidak hadir peperiksaan adalah calon yang berdaftar mengambil enam mata pelajaran termasuk calon persendirian,” katanya menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Roslan dalam soalannya ingin mengetahui percanggahan angka keciciran pelajar yang menghadapi SPM 2022 yang disenaraikan Anwar dan Radzi.

-Advertisement-

Semalam, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mendakwa Perdana Menteri memesongkan fakta sebenar berkenaan jumlah pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

Beliau berkata, dakwaan Anwar bahawa 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM pada 2022 bercanggah dengan jumlah yang sebelum ini dilaporkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Selasa lalu, Anwar dalam Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

– BH