Bubar DUN, Amirudin menghadap sebelum Tuanku berangkat ke tanah suci

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi perkenan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum baginda berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadat haji awal minggu depan.

-Advertisement-

Amirudin berkata, setakat ini beliau belum mempunyai tarikh tepat pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada penghujung Julai atau awal Ogos.

“Saya perlu menghadap Tuanku untuk menyatakan bila tarikhnya (pembubaran) bagi Tuanku menyatakan persetujuan (perkenan) nanti.

“Tiada rancangan (menghadap)…saya tengah tunggu masa (sesuai) untuk menghadap,” katanya selepas menyempurnakan Forum Selangor Mobility anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) di MBSA Convention Centre, Seksyen 13 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pembubaran DUN Selangor berikutan tiga negeri iaitu Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sudah mengumumkannya.

Difahamkan, Sultan Sharafuddin dijangka berangkat bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu pada awal minggu depan dan Amirudin dijangka menghadap baginda sebelum berangkat ke Tanah Suci itu.

“Kalau tidak sempat, saya akan pergi ke Madinah…hendak buat macam mana, kalau saya kena (pergi) ke Madinah, saya akan ke Madinah, tetapi kita cuba elakkan hal itu.

“Saya akan cuba menghadap sebelum tarikh Tuanku berangkat,” katanya

-Advertisement-

Media sebelum ini melaporkan, tarikh pembubaran DUN bagi PRN di tiga negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah diumumkan iaitu masing-masing pada 22, 28 dan 30 Jun ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan berhubung pembahagian tiga lagi kerusi DUN yang belum ada kata putus.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya berapa jumlah kerusi diperuntukkan kepada Barisan Nasional (BN).

“Esok atau hari ini (rundingan tiga kerusi). Tidak boleh umum berapa (BN boleh dapat) sebab belum muktamad tetapi kita bagi peluang sama adil kepada rakan kongsi dan strateginya calon boleh menang (winnablity).

“Kalau bertanding dengan peluang untuk menang adalah rendah, ia tidak beri kesan yang baik. Yang terbaik adalah peluang untuk menang kerusi itu, jadi semua perlu berbesar hati untuk melihat kemenangan,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373