TAWAU 19 September 2026 (The Capital Post) – Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Kampung Tanjung Batu Tengah, Tawau, dalam satu operasi yang dijalankan di Lorong Jurangan Rosli, Jalan Tanjung Batu, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, YDH ACP Rosdi bin Mat Jusoh berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 38 tahun itu ditahan selepas pihak polis berjaya mengesan mereka sebelum serbuan dan tangkapan dilakukan.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan pecah rumah.
Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek merupakan warga asing yang dipercayai berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Kes berkenaan dipercayai melibatkan sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Tengah yang telah dipecah masuk, dengan pelbagai barangan dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, sebuah televisyen, dekoder Astro, jam tangan, barangan bayi, kasut, beg tangan, emas tiruan dan tiga kipas berdiri.
-Advertisement-
Jumlah kerugian akibat kejadian tersebut dianggarkan sekitar RM20,000.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan kediaman ketika meninggalkan rumah, termasuk memastikan semua pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna.
Pemilik kediaman turut digalakkan memaklumkan kepada jiran yang dipercayai sekiranya rumah ditinggalkan untuk tempoh yang panjang, selain segera melaporkan sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil – The Capital Post