SUBANG JAYA 18 September 2026 (The Capital Post) – Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan dan pemahaman anak terhadap diri serta persekitaran sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan formal.
YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan, berkata fasa awal kehidupan merupakan tempoh penting bagi kanak-kanak meneroka dunia dan membina asas perkembangan mereka melalui interaksi bersama keluarga serta pendidik.
Beliau berkata pendidikan awal tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai persediaan sebelum seseorang kanak-kanak memasuki Tahun 1, sebaliknya menjadi antara peringkat utama dalam proses tumbesaran dan pembentukan diri.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pelancaran tiga program baharu dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Sunway University, termasuk satu program yang memberi tumpuan khusus kepada keperluan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.
-Advertisement-
Menurut beliau, usaha memperkukuh pendidikan awal perlu disertai dengan persediaan yang baik terhadap golongan pendidik kerana guru dalam bidang berkenaan bukan sahaja berperanan membimbing kanak-kanak, malah turut mempengaruhi cara mereka mengenali diri dan memahami dunia di sekeliling.
Beliau turut menyambut baik inisiatif Sunway University memperkenalkan tiga program baharu berkenaan, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada usaha bersama untuk memperkukuh pembangunan pendidikan awal kanak-kanak serta melahirkan lebih ramai tenaga pendidik berkualiti.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat menyumbang kepada usaha berterusan memperkasa pendidikan awal kanak-kanak dan memastikan generasi muda mendapat asas perkembangan yang kukuh sejak peringkat awal – The Capital Post