TPM Wan Azizah bantu kempen PH pada hari pertama kempen PRK Tg Piai

Estimate Reading Time: 2 minutes

PONTIAN- Hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, jentera Pakatan Harapan (PH) menerima suntikan semangat dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang membantu kempen mereka.

-Advertisement-

Dr Wan Azizah berada di Johor hari ini bagi merasmikan Karnival Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Kebangsaan di Plaza Angsana Johor Bahru, petang ini.

Beliau kemudian menggunakan kesempatan kehadiran beliau di Johor untuk hadir di sini, kira-kira 90 minit perjalanan dari Johor Bahru.

Selepas merasmikan pejabat PKR Cabang Tanjung Piai, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rimba Terjun.

Beliau kemudian turun padang bertemu dengan penduduk di Rambah, Kukup bagi membantu kempen PH. Perjumpaan itu diadakan di kedai makan Manja Corner yang terkenal dengan hidangan mee bandung udang galah.

Dr Wan Azizah tiba di kedai berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam diiringi oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan anggota parti.

Menurut pemilik kedai berkenaan, Ismail Sirat, 50, beliau dan isteri berasa teruja sebaik mengetahui premisnya akan dikunjungi oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Sepanjang berniaga kira-kira 25 tahun, ini adalah kali pertama Timbalan Perdana Menteri mengunjungi kedai saya. Selalunya yang berkunjung ialah orang kenamaan seperti Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian,” katanya.

Mee bandung yang dihasilkannya adalah resepi warisan keluarga beliau dan amat dikenali bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat malah pelancong luar yang sering berkunjung ke Kukup untuk membeli bekalan ikan sangkar segar atau untuk memancing di perairan Pulau Kukup.

-Advertisement-

Dr Wan Azizah kemudian melawat Bilik Gerakan Utama PH di Eco Rambah, Rambah, yang dibuka bagi menghadapi PRK Parlimen Tanjung Piai sejak 17 Okt lepas.

Beliau diberikan penerangan berhubung gerak kerja bilik gerakan terbabit yang disampaikan Setiausaha Kerja Bersatu Pusat, Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya, yang juga ketua bilik gerakan berkenaan.

Pada PRK kali ini, PH berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

PH yang dalam usaha untuk mengekalkan kerusi itu menamakan Karmaine Sardini sebagai calon, BN pula diwakili bekas penyandang kawasan itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Gerakan (Wendy Subramaniam) dan Berjasa (Datuk Dr Ir Badhrulhisham Abdul Aziz).

Calon Bebas pula masing-masing pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, seorang ahli perniagaan yang mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan16 Nov sebagai hari mengundi manakala 12 Nov bagi pengundian awal.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, Allahyarham Md Farid memperoleh 21,254 undi untuk menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.- BERNAMA