Pengundi Tg Piai diingatkan tidak termakan hasutan, main isu perkauman

Estimate Reading Time: < 1 minute

PONTIAN- Pengundi Parlimen Tanjung Piai diingatkan supaya tidak termakan hasutan pihak-pihak tertentu, yang sedang rancak memainkan isu perkauman sehingga menyebabkan hubungan kaum menjadi renggang, terutama ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada masa ini.

-Advertisement-

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sabu berkata isu perkauman ini dilihat semakin menebal dimainkan pembangkang, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Isu perkauman asyik dimainkan. Orang Melayu rasa kami (PH) alat DAP, DAP pula rasa jadi alat Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), (hubungan) kedua-dua kaum (Melayu dan Cina) menjadi renggang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Borak Kopitiam, di Pekan Nanas, di sini malam ini.

Program itu turut dihadiri calon PH Karmaine Sardini, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Ditanya keyakinan PH dalam memenangi PRK itu pada 16 Nov ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata PH kini perlu bekerja keras dalam membantu kemenangan calon, dengan memberi penjelasan dasar-dasar kerajaan kepada pengundi.

-Advertisement-

“Mana-mana parti yang bertanding pada pilihan raya akan yakin menang, kami (PH) juga sedang bekerja kuat. Kami tidak cakap kami (sudah) menang, tetapi kami sedang berusaha,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan itu berkata beliau berhak untuk berpolitik dan turun berkempen untuk membantu Karmaine pada PRK tersebut, memandangkan beliau adalah timbalan presiden gabungan tersebut.

“Saya tetap menteri, tetapi bagi PH saya timbalan presiden dan saya bebas bergerak ke mana sahaja,” katanya mengulas kenyataan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang dilaporkan berkata agar Mohamad berhenti berpolitik dan bergerak ke hadapan sebagai menteri di kementerian tersebut.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373