Undi18: Kedah dijangka pinda perlembagaan negeri

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Kerajaan negeri dijangka membuat pindaan ke atas Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan penduduk berusia 18 tahun mengundi atau menjadi calon pilihan raya akan datang.

-Advertisement-

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pindaan itu akan dilakukan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung November depan.

“Ya, kita akan pinda perlembagaan negeri pada Sidang DUN November nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan lima negeri didapati masih belum membuat pindaan kepada Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membolehkan warganegara yang berumur 18 tahun mengundi mahupun menjadi calon pilihan raya.

-Advertisement-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan berkata kerajaan telah mengadakan perbincangan, namun masih menunggu tindakan selanjutnya dari negeri-negeri terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu, turut mengumumkan Kabinet bersetuju dengan tujuh pembaharuan institusi termasuk pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Rang Undang-Undang (RUU) Undi18, atau dikenali sebagai Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan sebulat suara di Parlimen pada Julai 2019. -BH