108 kematian dalam tempoh 24 jam

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Sejumlah 301 kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan semalam dengan 108 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

-Advertisement-

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW memaklumkan, daripada jumlah berkenaan 193 kes lagi adalah kes tertunggak sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di negara ini adalah 23,744 kes.

Ia turut memaklumkan, terdapat 92 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan sebanyak 4,564 kes pesakit COVID-19 yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Secara keseluruhannya iaitu termasuk kes kematian tertunggak, Lembah Klang melaporkan kes tertinggi dengan 143 kes, Johor (52), Kelantan (23) dan Pulau Pinang (22).

Sabah dengan 19 kematian, Perak (15), Sarawak (lapan), Kedah (enam), masing-masing empat kes di Pahang dan Terengganu, Melaka (tiga) serta masing-masing satu kes di Perlis dan Negeri Sembilan.

-Advertisement-

Hanya dua wilayah iaitu Labuan dan Putrajaya tidak melaporkan pertambahan kes kematian.

Masih ada 207,698 kes aktif sehingga ini.

Daripada jumlah kes aktif itu, 172,648 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta 22,675 kes pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 11,321 kes pula sedang dirawat di hospital manakala 521 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) serta memerlukan alat bantuan pernafasan dan 633 kes berada dalam ICU dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan. -BH