15 kilang masih berdegil patuh SOP

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM – Pemilik kilang-kilang di sekitar daerah ini didapati terus berdegil apabila didapati masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah memasuki fasa kedua.

-Advertisement-

Ini terbukti apabila sebanyak 15 buah kilang dikompaun dengan jumlah keseluruhan mencecah RM150,000.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pengesanan pelanggaran itu hasil Op Khas Pematuhan SOP Covid-19 dijalankan pihaknya selama lima hari bermula 18 Jun lalu di sekitar kawasan Sri Muda di sini.

Katanya, antara kesalahan utama dikesan adalah tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas untuk pekerja kilang melibatkan lima kompaun dan beroperasi tidak mengikut arahan dalam surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan empat buah kilang.

Selain itu, masing-masing tiga atas kesalahan beroperasi tanpa surat kebenaran MITI dan kapasiti pekerja melebihi 60 peratus.

“Kesemua kilang itu menjalankan melibatkan pembungkusan, penghantaran brg dan pencetakan; bahan ganti telefon dan komponen besi; elektronik dan pam air serta kilang logistik

-Advertisement-

“Kilang-kilang itu dikompaun RM10,000 setiap satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihaknya turut mengeluarkan 22 kompaun bernilai RM2,000 kepada pekerja-pekerja kilang berjumlah RM44,000.

Ujarnya, secara keseluruhan dalam operasi itu melibatkan kompaun bernilai RM194,000 dengan tindakan dikenakan mengikut Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988

“Di samping itu, kita mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat mematuhi SOP aktiviti di rumah ibadat sama ada masjid, tokong, kuil dan gereja yang hanya boleh melibatkan 12 ahli jawatan kuasa sahaja susulan menerima aduan berkaitannya,” katanya.-KOSMO