KUALA LUMPUR 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Seramai 259 murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari Zon Selatan dan Zon Tengah mencipta sejarah sebagai kumpulan perintis Munsyi Remaja 2026 dalam satu majlis pentauliahan yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pelantikan itu bukan sekadar pengiktirafan kepada para peserta, malah membawa tanggungjawab untuk mereka menjadi penggerak serta duta kecil bahasa Melayu di peringkat sekolah, komuniti dan platform digital.
Inisiatif berkenaan yang dicetuskan menerusi amanat Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membina kecintaan, keyakinan serta kebanggaan generasi muda terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Dalam majlis tersebut, dua murid SBP turut menerima pengiktirafan sebagai peserta terbaik bagi kategori masing-masing. Anugerah Peserta Perempuan Terbaik diberikan kepada wakil Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (SESERI), manakala Anugerah Peserta Lelaki Terbaik diterima oleh wakil Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR).
-Advertisement-
KPM turut merakamkan penghargaan kepada semua Munsyi Remaja 2026, para pengetua dan guru pembimbing yang memberikan sokongan sepanjang pelaksanaan program. Penghargaan turut diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khususnya Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami bin Jahari, atas usaha menjayakan inisiatif tersebut.
Program Munsyi Remaja 2026 diharap dapat melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja mahir menggunakan bahasa Melayu, malah mampu menjadi contoh dalam penggunaan bahasa yang tepat, santun dan berkeyakinan dalam kehidupan seharian serta ruang digital.
Pentauliahan kumpulan perintis ini menjadi langkah penting dalam usaha memperkasa kedudukan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan pewaris negara yang mempunyai jati diri kukuh dan menghargai bahasa sebagai lambang identiti bangsa – The Capital Post