KUSKOP Sertai Perarakan Maulidur Rasul Kebangsaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SERDANG 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyertai Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M menerusi penyertaan seramai 50 orang kontinjen kementerian dalam perarakan yang berlangsung di Dewan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, turut hadir bersama kontinjen kementerian bagi memeriahkan sambutan yang berlangsung pada pagi tersebut.

Penyertaan KUSKOP mencerminkan usaha kementerian untuk memperkukuh semangat ukhuwah serta menyemai kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Penghayatan terhadap sirah, akhlak dan sunnah Baginda turut dilihat sebagai panduan penting dalam kehidupan seharian serta pelaksanaan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Sambutan yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri dan menghimpunkan kira-kira 4,000 peserta daripada 100 kontinjen yang mewakili kementerian, agensi kerajaan serta badan berkanun.

-Advertisement-

Mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, sambutan tersebut turut menjadi wadah untuk menggalakkan masyarakat menjadikan keperibadian dan teladan Rasulullah SAW sebagai asas dalam membentuk kehidupan yang lebih berintegriti, amanah dan prihatin.

KUSKOP menegaskan bahawa penghayatan terhadap nilai yang dibawa oleh Rasulullah SAW bukan sahaja penting dalam kehidupan bermasyarakat, malah dapat diterapkan dalam budaya penyampaian perkhidmatan yang berteraskan amanah, perpaduan dan kesejahteraan rakyat – The Capital Post