Estimate Reading Time: 2 minutes

BRUSSELS: Ketua Perindustrian Kesatuan Eropah (EU), Thierry Breton, semalam meminta Elon Musk untuk menangani penyebaran ‘maklumat palsu’ pada saluran media sosial X, susulan konflik terbaru di Palestin.

-Advertisement-

Tindakan itu kononnya bagi mematuhi peraturan kandungan dalam talian EU yang baharu, namun ditolak oleh Musk sebagai usaha Barat untuk mengawal penyebaran maklumat mengenai konflik Israel-Palestin mengikut naratifnya.

Breton berkata, beliau mempunyai bukti bahawa X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, digunakan untuk menyebarkan kandungan haram dan maklumat salah mengenai konflik Israel-Palestin di Kesatuan Eropah (EU) .

“Oleh itu, saya meminta anda untuk segera memastikan sistem anda berkesan dan melaporkan langkah-langkah krisis yang diambil kepada pasukan saya,” kata Breton dalam surat kepada Musk.

Breton bagaimanapun tidak menyatakan butiran mengenai maklumat palsu yang dimaksudkan.

Musk dilihat segera menjawab kenyataan Breton dan berkata, syarikatnya berpegang teguh kepada pendirian menyediakan sumber berita terbuka lagi telus.

“Sila senaraikan pelanggaran yang anda nyatakan pada X, supaya orang ramai dapat melihatnya,” ciapnya di X.

Breton bagaimanapun enggan membuat tuduhan secara langsung dan sebaliknya berkata, Musk mengetahui apa masalah itu.

-Advertisement-

“Anda amat mengetahui laporan pengguna anda, mengenai kandungan palsu dan mengagungkan keganasan. Terpulang kepada anda untuk menunjukkan apa yang anda sudah lakukan,” katanya menjawab Musk on X.

Peraturan kandungan dalam talian yang dikenali sebagai Akta Perkhidmatan Digital (DSA) memerlukan X dan pentas dalam talian besar lain untuk membuang kandungan haram dan mengambil langkah untuk menangani risiko kepada keselamatan awam dan perihal sivik.

“Memandangkan keadaan mendesak, saya juga mengharapkan anda berhubung dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dan Europol dan memastikan anda memberi maklum balas segera kepada permintaan mereka,” tulis Breton lagi.

Beliau turut berkata, pasukannya juga akan membuat semakan susulan dengan Musk mengenai beberapa isu segera lain yang berkaitan dengan pematuhan DSA.

“Saya menggesa anda untuk memastikan maklum balas yang cepat, tepat dan lengkap kepada permintaan ini dalam masa 24 jam akan datang,” kata Breton.

Kegagalan mematuhi DSA boleh mengakibatkan denda EU sebanyak enam peratus daripada perolehan global syarikat itu.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373